
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.
Dimanapun kamu berada, maut pasti akan mendatangi kamu,
sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi dan kukuh
( Surah An-Nisa : ayat 78 )
Pagi 17 Januari 2011 yang hening, mahasiswa/wi Malaysia di Mesir dikejutkan dengan berita kematian saudari Nurul Iman binti Ab Alim, pelajar perubatan tahun 3 Universiti Iskandariah yang meninggal dunia akibat keracunan gas (Carbon Monoxide Poisoning) .
PERUBATAN Cawangan Mansurah ingin menyatakan rasa simpati dan berkongsi kesedihan atas kejadian yang tidak disangka-sangka ini. Sehubungan dengan itu, sebagai sumbangan kepada keluarga mangsa, Unit Kebajikan PCM mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Derma Kilat. Kutipan Tabung Derma Kilat ini akan berlangsung selama 3 hari, bermula 17 Januari sehingga 19 Januari 2011 dan akan dikutip dari rumah ke rumah oleh wakil Unit Kebajikan yang bertugas. Sebarang pertanyaan dan permasalahan, hubungi Ketua Unit Kebajikan PCM , saudara Mohamed Nasarudeen bin Abdul Hamed ( +2016 6455614 )atau Timbalan Unit Kebajikan, saudari Nurul Fadhiila ‘Amni binti Raidi ( +2011 6152001 ).
Mewakili warga PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM), saya mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan rakan-rakan arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang solihin.
Di kesempatan ini juga, saya ingin berpesan agar kita sentiasa memastikan alatan elektronik dan pemanas di rumah sentiasa dalam keadaan baik dan selamat supaya kejadian seperti ini ini tidak akan berlaku lagi. Tingkatkanlah tahap kewaspadaan dan keselamatan diri masing-masing dan sahabat-sahabat sekeliling supaya kejadian-kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan. Sekiranya ada sebarang masalah yang boleh dibantu oleh persatuan, hubungilah AJK PCM yang anda kenali secepat mungkin. InsyaAllah kami bersedia membantu anda.
Ingatlah bahawa kematian itu adalah sesuatu yang pasti dan terlalu dekat. Maka bersamalah kita sentiasa memastikan diri dalam keadaan melakukan ketaatan kepada Allah dan menjauhi maksiat agar pengakhiran kehidupan kita ini disudahi dengan khusnul khatimah (kesudahan yang baik). Moga kejadian ini semakin menyedarkan kita dan menambahkan keimanan kita pada Allah, Tuhan Pemilik setiap yang bernyawa.
Yaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “Innalillahi wa inna ilaihirajiun” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali)
( Surah Al-Baqarah : ayat 156 )
At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah,
Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
Ahmad Azizi bin Md Jusoh,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/2011
0 Comment