Pendirian PCM Berkenaan Program Medics' Got Talent

Segala puji hanya layak bagi Allah, Tuhan yang telah melimpahkan kepada kita nikmat kehidupan, nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda dan para sahabat r.a.

Setiap daripada kita pasti sentiasa inginkan kebaikan dan kita sangat-sangat berharap pada keredhaan Allah dalam setiap amalan kita melebihi tuntutan nafsu semata-mata. Berhibur adalah suatu fitrah, suatu kecintaan dan keinginan yang ada dalam diri manusia tetapi keinginan ini perlu dikawal sesuai dengan batas-batas yang ditetapkan dalam Islam.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian, merujuk kepada isu yang sedang berlegar disekiling kita berkenaan dengan program Medics' Got Talent, saya mewakili PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) akan menyatakan ketetapan persatuan terhadap isu ini terutama dari sudut penglibatan ahli-ahli PCM terhadap program ini.

Merujuk kepada program Medics' Got Talent, kami berpendirian semua aktiviti-aktiviti berbentuk hiburan adalah harus di sisi Islam, namun, pihak persatuan hanya tidak bersetuju sekiranya terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan syara’ antaranya seperti :

1.Penganjuran program tidak menghormati waktu solat dengan tidak menyediakan waktu senggang secukupnya untuk peserta dan dan penonton menunaikan solat.

2.Terdapat hiburan yang melampaui batas syara’ menyebabkan program bercampur dengan kebatilan. Contohnya, terdapat lirik lagu dan nyanyian yang menaikkan syahwat dan bercanggah dengan syara’, peserta berpakaian seksi dan menjolok mata.

3.Perjalanan dan pelaksanaan program yang tidak terkawal sehingga membuka ruang untuk berlakunya maksiat yang lain. Contohnya kedudukan antara lelaki dan perempuan yang bercampur sehingga tidak terkawal.

Akhir kalam, kami tidak bermaksud menyekat ahli-ahli PCM untuk berhibur tetapi kenyataan rasmi ini hanyalah bertujuan memperingatkan ahli supaya mempertimbangkan baik buruk sesuatu program yang ingin disertai agar kita tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang dimurkai Allah. Semoga kita semua dirahmati Allah. Semoga beroleh kecemerlangan buat ahli-ahli PCM yang sedang menghadapi peperiksaan.

Sekian, Siiru ‘ala barakatillah.

“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/2011.


*Tarikh Dikeluarkan: 4 Mei 2011
Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment